Loading...
loading...
Kontena syurga kami empat beranak
Tumpat: “Nasib baik saya buat keputusan untuk membawa pulang sebuah kontena ke kampung ini, 22 tahun lalu.
“Jika tidak, tak tahulah di mana kami empat beranak merempat,” kata Narzeli Mohamad, 45, dari Kampung Telaga Lanas, di sini.
Dia sekeluarga menghuni kontena berukuran enam meter persegi sejak tiga tahun lalu, selepas dia menghidap angin ahmar dan kencing manis kronik.
Menurutnya, sebelum kontena itu diubah suai menjadi rumah, ia sudah terbiar dan terpaksa dibaik pulih apabila mereka pulang ke Kelantan.
“Sebelum ini, kami menetap di Kajang, Selangor dan berniaga kedai makan di sana. Apabila sudah tidak mampu bekerja dan sakit, kami pulang ke kampung pada 2015.
“Ketika awal kepulangan, kami menumpang di rumah ayah saya (Mohamad Abdullah, 72) namun disebabkan tidak mahu menyusahkannya, saya membuat keputusan untuk membaik pulih kontena ini yang sudah lama dibiarkan sejak dibawa pulang 22 tahun yang lalu.
“Lagipun, tapak nak buat rumah, tiada. Maka, kontena ini ditempatkan di tanah milik abang ipar,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Narzeli mengakui menghuni kontena itu tidak selesa seperti mendiami rumah, namun, dia tiada pilihan lain disebabkan tidak mampu menyewa rumah.
Katanya, isterinya Noraini Dollah, 34, pula tidak bekerja dan terpaksa menjaga dia dan anak mereka.
“Siapa tidak mahu tinggal di rumah yang selesa namun disebabkan tiada tanah selain saya juga sudah tidak berdaya jadi kontena ini menjadi istana kami.
“Ada pihak yang menawarkan untuk membina rumah namun disebabkan tidak ada tanah sendiri, kami terpaksa melupakan hasrat itu,” katanya.
Menurutnya, Noraini ada membuat permohonan bantuan perniagaan untuk gerai bergerak, namun belum mendapat kelulusan.
“Belanja seharian kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain sumbangan daripada penduduk kampung.
“Jika isteri dapat berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah kontena kami ini, sudah tentu perbelanjaan harian tidak putus dan kami juga tidak perlu minta bantuan penduduk kampung,” katanya.
harian metro
harian metro
loading...
0 ulasan: