Loading...
loading...
'Lokap polis jijik, kotor macam kandang'
"Apabila anda masuk, perkara pertama yang menyerang anda adalah baunya," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung lawatan beliau ke lokap polis Ayer Molek di Pulai, Johor.
"Apabila anda masuk, perkara pertama yang menyerang anda adalah baunya," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung lawatan beliau ke lokap polis Ayer Molek di Pulai, Johor.
"Terdapat bau hapak dan bau badan yang sangat busuk.
"Tahanan memakai baju lokap yang tidak selalu dibasuh. Mereka sepatutnya memiliki tiga helai baju bagi setiap seorang tetapi kami diberitahu ia tidak cukup," kata beliau kepada Malaysiakini.
Rabu lalu, suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan keras menyorot keadaan 'tidak berperi kemanusiaan' yang perlu dihadapi oleh 180 orang tahanan lelaki di lokap tersebut.
Asalnya bertujuan untuk lokap sementara, ia kekal beroperasi sejak 2009 dan mengambil sebahagian bangunan penjara Ayer Molek yang dikatakan berusia 100 tahun.
Penjara tersebut telah ditutup dan berpindah ke Simpang Renggam, Kluang bulan Jun lalu.
Selain bau busuk, Joseph berkata beliau terperanjat apabila mendapat tahu para tahanan sukar untuk mendapatkan kemudahan air minuman bersih.
"Tidak ada air minuman bersih disediakan di dalam sel-sel tersebut.
"Tahanan hanya mendapat sebungkus air, tiga kali sehari apabila pembekal makanan datang untuk membawa bungkusan makanan," jelas beliau.
'Keadaan lokap menyeksakan'
Dilaporkan sebelum ini belanja harian untuk setiap tahanan bagi kesemua tiga hidangan tersebut berjumlah RM8.
Berdasarkan pemerhatian beliau terhdapat sehingga sepuluh tahanan di dalam satu-satu sel, paling besar berukuran 7 meter x 7 meter.
"Banyak sel memiliki lantai yang kotor dan pelantar kayu di beberapa sel telah reput. Pada setiap sel terdapat tandas 'terbuka'. Beberapa orang tahanan juga kelihatan sangat sakit," kata beliau lagi.
Tahanan biasanya menghabiskan lima hari di lokap tersebut sebelum didakwa atau dibebaskan mahkamah.
Namun, kata Joseph warga asing yang ditahan kerana kesalahan imigresen boleh ditahan di Ayer Molek sehingga dua minggu.
"Hanya dengan melalui keadaan tersebut ia telah menjadi penyeksaan, malah polis sendiri tidak mahu berada di situ.
"Ia tidak sesuai untuk didiami manusia," tegas beliau.
Dilaporkan sebelum ini para pegawai polis yang bertugas di lokap tersebut telah membeli sendiri topeng muka dan sarung tangan bagi menghalang jangkitan batuk kering (tuberculosis) dari tahanan yang menderita penyakit tersebut.
Lawatan Suhakam pada 31 Julai lalu ke lokap tersebut mendapati tidak ada pegawai perubatan ditempatkan di situ walaupun ia merupakan peraturan di bawah Akta Peraturan-peraturan Lokap dan Penjara 1995.
Para pegawai polis memberitahu Joseph mereka telah memberitahu isu tersebut kepada pegawai atasan tetapi diberitahu tidak ada peruntukan belanjawan bagi memperbaiki keadaan lokap.
Timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed telah dilaporkan membidas laporan Suhakam berkenaan Ayer Molek sebagai "sudah lapuk."
Nur Jazlan yang juga MP Pulai berkata penjara tersebut telah lama ditutup setelah kementeriannya mendapat laporan keadaan buruk di sana.
'Lokap polis jijik, kotor macam kandang'
"Saya fikir beliau perlu mendapat maklumat yang dikemaskini. Kami bercakap tentang lokap di sini, bukan penjara," kata Joseph.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa kesal dengan keadaan lokap polis di negara ini, yang didakwanya kotor lagi menjijikkan.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga kini pihaknya menerima lebih 30 aduan mengenai keadaan lokap di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Perkara yang banyak diadukan kepada kita iaitu lokap yang amat kotor lagi menjijikkan. Kalau kita lihat daripada apa yang dilaporkan kepada kita maknanya memang tidak layak didiami manusia," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Menyifatkan keadaan lokap seperti kandang haiwan, Nadzim bagaimanapun tidak menyalahkan atau menuding jari kepada mana-mana pihak.
Kata Nadzim, perkara tersebut dibawa kepada media kerana terpanggil untuk memperbetulkan keadaan.
"Kita hendak membawa kes ini untuk membetulkan keadaan, kerana malu sebagai sebuah negara Islam, macam mana (tahanan) nak sembahyang terutama mereka yang ditahan ini belum tentunya bersalah," katanya.
Oleh demikian Nadzim mahu pihak berwajib memandang serius perkara itu, malah pihaknya juga bersedia membantu mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah tersebut.
Sukar solat
Berkongsi pengalaman menjijikkan itu ialah pengadu pertama, Yusuf Azmi yang juga merupaka pengarah unit tindakan khas PPIM.
Menurut Yusuf, tempoh empat hari yang dilaluinya begitu sukar apabila terpaksa menahan bau busuk najis dan hancing air kencing hingga membuatkan dirinya berasa loya.
"Kotornya tempat itu cuma ia tidak ada babi tapi baunya amat dasyat daripada kandang babi," kata Yusuf.
Kata Yusuf, keadaan itu menyukarkan tahanan beragama Islam untuk menunaikan solat.
"Tempatnya begitu kotor dan bayangkanlah saya ambil wuduk sambil tutup mata sebab saya tak boleh tengok apa yang ada di bawah (lantai).
"Tempat nak solat itu tak boleh bayangkan kotornya, kencing merata," katanya yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi atas dakwaan menceroboh.
Cabar OCPD bermalam di lokap
Ekoran keadaan itu, Yusuf mahu semua Ketua Polis Daerah (OCPD) mengambil maklum lokap di balai masing-masing selain mencabar pihak berkuasa terbabit bermalam di pusat tahanan sementara itu.
"Lokap (yang kotor) mendidik kita lebih jahat, lebih teruk sebab kita terlupa ini negara Islam. Bukanlah kita pembersih sangat tapi Islam kan kena bersih, jadi sekarang ini saya rasa zalim.
"Kita minta semua OCPD tidur semalam di lokap. Ini tanggungjawab OCPD, jadi saya minta semua OCPD terutama OCPD Dang Wangi bau najis di lokap mereka," kata Yusuf.
Pengadu kedua, Ramle Buang turut berkongsi cerita yang sama.
Ramle pernah ditahan berkali-kali di beberapa lokap seperti di Teluk Intan, Perak dan Alor Setar Kedah berkata keadaan pusat tahanan itu begitu menyedihkan.
"Luas lokap itu dalam 8x8 dan lebih 30 orang satu sel. Kencing, berak semua dalam lokap itu. Baunya tuhan saja yang tahu," kata Ramle.
Lokap Israel lebih bersih
Pengadu ketiga, Dr Noorazman Mohd Samsuddin menyifatkan keadaan lokap di Israel lebih bersih berbanding keadaan lokap di negara ini.
"Saya pernah ditahan di penjara Israel, lebih kurang 48 jam. Setelah kami dipukul dan ditembak, ada yang mati dan sebagainya kami masuk penjara.
"Masa kena pukul memang teruklah tapi bila masuk saja penjara, penjaranya tidaklah bagus seperti mana keadaan di luar, tetapi dalamnya bersih.
"Walaupun dalam penjara itu ramai, tapi keadaannya bersih, makanannya disusun rapi walaupun makannya tidak sebagus mana," kata Noorazman.
Menurut Noorazman, beliau tidak berniat menyalahkan mana-mana pihak namun meminta tahanan dilayan sebagai manusia, apatah lagi memandangkan mereka belum dibuktikan bersalah di mahkamah.
"Apa yang saya nak tegaskan di sini adalah kebersihan adalah hak semua manusia dan mereka tak boleh nafikan hak kami sebab kami belum tentunya bersalah.
"Kita kena tegas dengan undang-undang tapi kita juga kena tegas dengan kemanusiaan.
"Perkara tentang kebersihan, bagi kita di sini kita kena berperikemanusiaan dengan manusia," tambah Noorazman.
loading...
0 ulasan: