Loading...
loading...
Teringat Kajol, Shah Rukh Khan Di Switzerland
Tepat jam 7.30 pagi di Basel, Switzerland, rombongan kami bergegas menaiki bas. Semua sudah diingatkan jangan lewat kerana ketua rombongan mahu memulakan perjalanan awal. Tiada siapa pun mahu ketinggalan atau lewat.
Selesai bersarapan di hotel penginapan, kami beramai-ramai terus keluar.
Pagi itu sangat istimewa, kami semua mahu pergi ke Gunung Titlis, kawasan peranginan bersalji dan ski di pergunungan Alp Switzerland. Cuaca pagi itu amat menarik, matahari musim bunga awal lagi sudah memancarkan sinarnya.
Bolehkah ada salji dalam cuaca secerah ini, ramai tertanya-tanya tetapi ketua rombongan kami, Encik Faris, yang sudah beberapa kali ke situ meyakinkan kami, ia akan menjadi kenangan seumur hidup.
Sebenarnya dalam kalangan rombongan kami, ramai yang sudah berusia dan peluang melancong ke Eropah bagai perjalanan paling jauh seumur hidup bagi mereka.
Sejak dari Malaysia lagi, mereka sudah menyatakan keinginan melihat salji tetapi apakan daya, andai datang pada musim sejuk, nanti akan sakit-sakit kesejukan.
Apabila diberitahu agensi pelancongan bahawa lawatan ini termasuk kunjungan ke Gunung Titlis yang bersalji sepanjang tahun, keinginan mereka untuk segera tiba terus meluap-luap.
Mereka juga sudah diingatkan ketika berada di Malaysia lagi supaya membawa pakaian dan kasut yang sesuai kerana memang kesejukan di situ dan berjalan-jalan pula di atas ais yang mencair, maka kasut mestilah tebal dan melebihi buku lali.
Kalau ada cermin mata gelap, elok juga dipakai kerana salji putih di sekeliling boleh menyebabkan silau cahaya matahari.
Kini, apabila sudah berada dalam bas bergerak lancar ke destinasi, rasanya bagai tak percaya pula. Baru semalam kami ke Tasik Titisee dalam kawasan Black Forest, Jerman, di bandar peranginan Schwarzwald, yang dirasakan jauh terpencil di tengah hutan. Hari ini kami sudah dalam perjalanan ke kawasan pergunungan yang dirasa bagaikan puncak dunia.
Untuk ke Gunung Titlis, kami tuju dahulu ke bandar di kaki gunung berkenaan iaitu Engelberg, kira-kira dua jam perjalanan bas dari Basel. Berbanding bandar raya Basel yang sibuk dan sesak, lama-kelamaan kami menghampiri kawasan pergunungan yang lengang dan pemandangan di sekeliling mula menawan.
Sukar untuk menggambarkan keindahan pemandangan di situ namun jika anda peminat Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol, filem cinta mereka pada 1995 iaitu Dilwale Dulhania Le Jayenge menjalankan penggambarannya di sini.
Terutama dalam klip video lagu Tujhe Dekha To Yeh Jaana Sanam, anda boleh lihat pemandangan latar belakangnya yang sungguh menyejukkan mata.
Sebaik mula memasuki bandar Engelberg yang berupakan lembah dikelilingi gunung-ganang yang memutih di puncak masing-masing, mulalah kedengaran ‘uuuhh, aaaahh’ yang terpacul dari mulut ahli rombongan yang kaku ternganga sambil mata terbeliak kerana teruja.
“Sabar kak, sabar kak! Ini baru geli-geli aje, belum sampai lagi,” kata Faris yang tergelak melihat gelagat ahli rombongan yang padanya sudah berpangkat pak cik, mak cik serta abang dan kakak.
Kami tiba di stesen kabel boleh dikira awal juga kerana jalan raya di Engelberg masih lengang pagi Ahad itu tetapi di medan parkir sudah banyak kereta, van, bas dan pelbagai kenderaan lain penduduk setempat.
Mereka semua sudah siap berpakaian sejuk dan melangkah pantas memikul papan ski. Mereka berkejaran untuk memasuki stesen. Melihatkan keadaan sedemikian, kami juga sudah tidak sabar-sabar untuk sama-sama naik ke Gunung Titlis.
Tiket menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Titlis berharga 80 euro atau 92 franc Switzerland (CHF) seorang. Memang tidak murah apabila ditukarkan ke mata wang ringgit tetapi kerana sudah dibajetkan dari awal di Kuala Lumpur lagi, masing-masing bergelak ketawa sahaja apabila memberikan wang kepada Faris untuk belikan tiket.
Apakan daya, mata masing-masing sudah terpaku ke puncak gunung dan hati pula sudah meronta-ronta agar segera tiba.
Sesudah mendapat tiket masing-masing, kami pun bergegas ke tingkat atas untuk menaiki kereta kabel. Bagi yang biasa ke Genting Highlands, dan sudah menaiki kereta kabel ke puncak, mungkin berasakan sudah tinggi tetapi bayangkan perjalanan lebih laju dan puncaknya lebih tinggi hingga terpaksa bertukar stesen di pertengahan.
Dalam perjalanan naik ke gunung, kami lihat dari dalam gondola, bandar Engelberg makin sayup. Semua bangunan dan rumah makin mengecil hingga satu ketika, sudah tidak nampak apa-apa kecuali kabus di sekeliling. Makin naik meninggi, kabus pun hilang dan pemandangan jelas semula. Apa yang kami nampak di sekeliling semuanya salji putih. Kalau ada pun jalan atau rumah di bawah kami, semuanya memutih diliputi salji.
“Ya,” kami bersorak di dalam gondola. “Kita sudah sampai!”
Fasa pertama gondolanya kecil, boleh memuatkan enam penumpang sahaja tetapi di fasa kedua gondolanya lebih besar yang boleh membawa lebih 30 orang di dalamnya.
Gondola besar ini juga lebih istimewa, menandakan kita sudah sampai ke kawasan puncak gunung, dan sambil ia bergerak ke puncak Gunung Titlis, ia berputar perlahan-lahan supaya semua penumpang dapat menikmati pemandangan sekeliling indah yang jauh di gunung-gunung lain. Memang menakjubkan!
Di dalam gondola yang sama, ramai juga pelancong asing lain yang sama-sama berdebar mahu segera sampai ke puncak gunung. Namun, perjalanan tidak lama berbanding ketika mula-mula menaiki gondola kecil, cuma lebih sedikit lima minit.
Namun, dari jauh sudah dapat dilihat di lereng gunung, penduduk tempatan bersuka ria bermain ski dan snowboard. Lereng-lereng gunung itu juga tampak curam, banyak yang tinggi tetapi ramai juga kanak-kanak berusia kurang 10 tahun yang dibawa ibu bapa mereka bermain ski.
Mungkin sebaik mereka boleh berjalan, sudah disarungkan sepasang papan ski di kaki mereka. Lain padang lain belalang, wajarlah mereka handal bersukan.
loading...
0 ulasan: